Jangan Dilupakan Sehingga Akhir Hayat

malaysia

Tuesday, June 9, 2009

BERITA HARIAN : Pemuda Kelantan sokong usaha Hadi

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Kelantan menyokong cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mewujudkan kerajaan perpaduan dan mengajak Pemuda Pas negeri itu memulakan langkah perpaduan selaras dengan saranan berkenaan.

Ketua Pemudanya, Anuar Safian, berkata Pemuda Umno melihat penekanan kerajaan perpaduan yang ditonjolkan oleh Presiden Pas itu harus disambut baik oleh ahli-ahli Pas seluruh negara dan lebih elok sekiranya ia bermula di Kelantan.

“Gerakan ke arah perbincangan atau muzakarah atau apa-apa saja interaksi yang memungkinkan kerajaan dan pakatan perpaduan dicapai haruslah bermula dari sekarang, dan ia amat sesuai dilakukan demi melihat perpaduan orang Islam dan Melayu di negara ini.

"Pemuda Umno Kelantan merasakan sudah sampai masanya kita patut berbincang dan buangkan sifat amarah, retorik, dan fahaman kendiri yang boleh merosakkan perpaduan umat Islam,” katanya dalam blog rasminya, semalam.

Anuar berkata, Pemuda sedia mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju yang lebih meluas demi kebaikan dan kedudukan ekonomi, program sosial dan masyarakat selain daripada politik umat Islam dan Melayu.

Katanya, ruang yang luas akan dibuka jika perbincangan dengan Pas dapat dilakukan, dan jika Pas boleh berbaik dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, mengapa tidak perkara sama juga dilakukan dengan Umno.

"Saya menyeru kita sama-sama berusaha ke arah ini, agar maruah umat Islam tidak tergadai,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan juga salah seorang ulama muda yang lantang bersuara dalam parti itu, turut menyokong cadangan presidennya mengenai kerajaan perpaduan.

[rujukan : Berita Harian; 9 Jun 2009; http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20090609010119/Article/index_html]

No comments:

Post a Comment