Jangan Dilupakan Sehingga Akhir Hayat

malaysia

Thursday, June 4, 2009

Timbalan Presiden nafi jadi dalang sertai BN

Gambar sebelah : NASHARUDDIN (kiri) diiringi Salahuddin sebelum merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat Ke-50 di Kuala Lumpur, semalam.

Nasharuddin tolak dakwaan mahu muzakarah dengan Umno

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, akhirnya membuka mulut menafikan yang beliau adalah perancang untuk membawa parti itu menyertai Barisan Nasional (BN).

Nasharuddin berkata, beliau dan pemimpin Pas tidak mempunyai sebarang niat atau melakukan perancangan untuk membawa parti itu bergabung dengan Umno atau BN.

"Akan kita pertahankan parti ini daripada sebarang unsur yang cuba merobek keutuhan jamaah kita. Islam yang kita perjuangkan ini diambil daripada al-Quran dan Sunnah yang mengajar kita mengenai siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana hendak berdamai," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas, di Taman Melewar, dekat sini, semalam.

Nasharuddin sebelum ini memilih jalan untuk berdiam diri daripada menjawab segala tuduhan golongan tertentu dalam Pas yang mendakwa beliau memainkan peranan utama dalam muzakarah dengan Umno.

Timbalan Presiden Pas itu dikatakan bersama-sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengetuai kumpulan pro muzakarah untuk berunding dengan Umno.

Bagaimanapun, kumpulan pro Pakatan Rakyat atau 'Erdogan' dikatakan mahu memastikan Nasharuddin gagal dalam pemilihan pucuk pimimpinan kali ini.

Nasharuddin akan dicabar oleh Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden pada Jumaat ini.

Nasharuddin mengajak ahli Pas kembali kepada kaedah syura atau perbincangan dan bukannya berjuang atas kehendak sendiri.

Katanya, prinsip syura berdasarkan pendapat yang paling kuat dan bukan sebaliknya.

'Imej Pas sebagai parti pembangkang perlu dijenamakan semula. Pas bukan sekadar parti pembangkang, membantah saja semua tindakan parti kerajaan tetapi Pas kini adalah parti Islam yang bersedia mengambil alih kepemimpinan negara," katanya.

Oleh Anwar Hussin dan Haspaizi Mohd Zain
[rujukan : Berita Harian; 4 Jun 2009;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20090604102210/Article/index_html]

No comments:

Post a Comment