Jangan Dilupakan Sehingga Akhir Hayat

malaysia

Tuesday, June 9, 2009

BERITA HARIAN : Pengguna sahut seruan jimat air musim kemarau

Guna air basuhan pakaian siram pokok bunga, cuci kereta

SHAH ALAM: Bahang cahaya matahari yang membara walaupun pada waktu malam, bagaikan petanda musim kering kali ini pastinya panjang dan sangat panas.

Lebih menyesakkan, hujan pula amat jarang berlaku, dan jika ada, tidak cukup untuk melenyapkan kepanasan.

Berikutan musim kering yang berlarutan sehingga September ini, penduduk di Selangor dinasihatkan berjimat cermat dalam penggunaan air untuk aktiviti seharian kerana dikhuatiri air yang disimpan di empangan di seluruh negeri ini kering kontang jika pembaziran berlarutan.

Tinjauan Berita Harian di sekitar Shah Alam, semalam, mendapati penduduk di negeri ini menyahut seruan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga) dalam penjimatan penggunaan air di premis kediaman mahupun perniagaan mereka.

Pengurus Restoran Pandi, Nor Erma Mohamad, 25, berkata air untuk membasuh pinggan mangkuk akan ditakung di dalam beberapa buah besen terlebih dulu, sebelum digunakan untuk membasuh dan membilas perkakas di dapur restoran berkenaan.

"Dengan cara itu, penjimatan air dapat dilakukan. Kita tidak membasuh pinggan mangkuk itu dengan air yang terus dari paip kerana air lebih banyak digunakan dengan cara itu," katanya.

Seorang lagi pengusaha gerai, Mariam Kadir, 45, yang beroperasi di Seksyen 17, turut melakukan perkara yang sama dengan Nor Erma dalam usaha untuk menjimatkan penggunaan air.

"Menakung air untuk mencuci perkakas dapur bukan saja menjimatkan, malah dapat mengurangkan masalah aliran air paip yang perlahan dan sedikit apabila kesemua paip dibuka serentak," katanya ketika ditemui di Gerai Wira Klasik.

Sementara itu, Flora Nicholas, 42, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Damansara berkata, beliau menggunakan takungan air basuhan pakaian untuk menyiram pokok bunga.

"Saya tidak membuang lebihan air basuhan baju itu untuk menjimatkan penggunaan air. Lagipun, air itu masih lagi boleh digunakan untuk membuat benda lain seperti menyiram pokok bunga dan tidak perlu membazir," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya, di sini, semalam.

Nicholas Jacob, 49, yang juga menetap di TTDI Jaya menyokong kata-kata Flora dan menambah bahawa beliau turut menggunakan air basuhan pakaian berkenaan untuk mengelap lantai rumah, selain menyiram pokok bunga.

"Saya masih lagi mengambil langkah berjimat cermat dalam penggunaan air walaupun menerima 20 meter padu air secara percuma daripada kerajaan negeri. Kita perlu menggunakan air sebaik-baiknya walaupun ia adalah percuma," katanya.

Selain itu, katanya, penjimatan menggunakan air juga boleh dilakukan dengan cara membasuh baju tiga kali seminggu dan menggunakan semula air yang telah digunakan untuk tujuan lain seperti mengelap tingkap dan mencuci kereta.

Penggunaan air secara bijak membantu kapasiti simpanan air di tiga empangan yang terdapat di negeri ini bertahan lama, melebihi tempoh masa lima setengah bulan yang dijangkakan oleh Puncak Niaga sebelum ini.

Jumaat lalu, Pengurus Koperasi Korporat Puncak Niaga, Zulkifli Ahmad, mengeluarkan kenyataan bahawa paras air di Empangan Sungai Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Tasik Subang mencatatkan jumlah hujan yang terendah walaupun simpanan airnya 100 peratus.

[rujukan : Berita Harian; 9 Jun 2009;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Wilayah/20090609073255/Article/index_html

No comments:

Post a Comment